NADI Taman Sukma

Dilahirkan pada tahun 1972 dan dibesarkan di Kampung Lintang, Puan Norlizawati binti Sane (53) merupakan seorang usahawan kraf tangan yang gigih memperjuangkan seni warisan Melayu Sarawak. Berbekalkan kelulusan dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau mula berjinak-jinak dalam bidang seni pada tahun 1996, dengan fokus kepada penghasilan sulaman tradisional keringkam.

Minat mendalam beliau terhadap seni kraf tangan mendorong kelahiran jenama LC Keringkam, yang menghasilkan produk sulaman eksklusif dan berkualiti tinggi, berasaskan teknik tradisional Melayu Sarawak. Walaupun pada awalnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, perubahan besar berlaku selepas beliau menyertai program keusahawanan anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sukma. Dengan bimbingan dan latihan yang diterima, beliau kini berjaya meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.

Kini, Puan Norlizawati semakin aktif berkongsi ilmu dan kemahiran dengan mengadakan kelas sulaman keringkam secara konsisten di NADI Taman Sukma. Setiap bulan, beliau menjalankan antara 4 hingga 6 kelas, menarik penyertaan bukan sahaja dari sekitar Kuching, malah dari Bau, Sibu, dan juga negara jiran Brunei. Semangat beliau dalam mendidik dan menyebarkan seni warisan menjadikan beliau bukan sekadar usahawan, malah pencetus inspirasi kepada generasi akan datang.

Kejayaan LC Keringkam hari ini membuktikan bahawa seni tradisional bukan hanya boleh dikekalkan, malah mampu menjadi sumber rezeki yang mengubah kehidupan jika disertai dengan ilmu, usaha dan sokongan komuniti.